"Selamat berkunjung ke Blog Pendidikan TunaSastera: Pengabdian"
ALHAMDULILAH, rafakan syukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata'ala kerana dengan limpah dan hidayah serta izin-Nya jua blog ini dapat disiapkan dengan jayanya. Blog yang serba sederhana ini adalah berkat daripada hasil usaha tujuh orang mahasiswa Universiti Brunei Darussalam. Kesemua daripada kami merupakan di antara mahasiswa-mahasiswa yang mengambil program Sarjana Muda Sastera Pendidikan sama ada mengambil jurusan Kesusasteraan Melayu sebagai subjek major atau minor. Setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada pembimbing atau lebih mesra dipanggil sebagai pensyarah kami iaitu Rozaiman bin Hj Makmun kerana hasil daripada bantuan beliaulah blog kami ini dapat diungkayahkan penciptaannya hingga ia berjaya disiapkan.
Pembikinan blog ini adalah salah satu tugasan yang diberikan kepada kami selaku mahasiswa-mahasiswa yang mengambil kursus PL 4204: Kaedah Pengajaran Kesusasteraan Melayu, 2010. Walaupun penciptaan blog ini merupakan satu syarat bagi kursus tersebut, namun ia juga adalah satu usaha dalam pengkongsian ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan Kesusasteraan Melayu umumnya dan elemen dalam novel khusunya kepada khalayak sastera tempatan dan antarabangsa.
Laman blog ini merupakan laman yang berbentuk ilmiah kerana di dalamnya mengandung informasi, maklumat dan ilmu pengetahuan yang berkaitan kepada kajian tambahan sebuah novel tempatan iaitu novel Pengabdian tulisan Hjh Norsiah Hj Abd Gapar yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei pada tahun 1990. Dalam erti kata yang lain, blog ini senghaja dicipta untuk dijadikan sebagai wadah nilai tambah kepada para pelajar, pengkaji, pengajar serta peminat sastera.
Oleh kerana cerita di dalam sesebuah novel kadangkala kurang jelas gambarannya terhadap sesuatu perkara, blog ini dapat membantu memperjelaskan kekurangjelasan tersebut. Umpamanya, dalam novel Pengabdian yang ada menceritakan tentang sesuatu isu seperti penyakit Thalassaemia Beta, blog ini ada menyediakan slaid, artikel dan gambar berkaitan tentang hal tersebut. Begitu juga halnya dengan gambaran latar-latar tempat seperti Hospital Mount Elizabeth di Singapura juga turut diperlihatkan di dalam blog ini. Banyak lagi informasi yang dirasakan bermanfaat bagi kegunaan para pelajar sastera dan pengkaji sastera yang sedang, telah dan akan membaca novel Pengabdian. Dengan cara ini, Insya Allah ia akan dapat mempertajam dan meningkatkan lagi pengamatan dan penghayatan para pembaca terhadap sesuatu perkara lantas cerita novel Pengabdian dapat difahami dengan tuntas.
Secara umumnya, blog ini menyajikan beberapa sub-laman termasuklah laman utama, info tentang Brunei, Galeri dan Jenis-jenis penyakit. Kesemua sub-laman ini mengandung pengetahuan yang ada hubungkaitnya dengan novel Pengabdian. Pendek kata, blog ini merupakan wadah nilai tambah kepada para pelajar, guru, pengkaji sastera dan orang ramai yang mendahagai ilmu pengetahuan.
Akhir kalam, tidak lupa kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada laman-laman web yang menyediakan segala bunyi-bunyian, grafik, gambar-gambar, informasi dan maklumat. Segala kebaikan adalah datangnya dari Allah S.W.T. jua dan segala kekurangan, kecacatan dan kekhilafan adalah disebabkan dari kecuaian dan kekurangan ilmu daripada kami sendiri yang memang diakui masih berada di pringkat anak sekolah. Semoga pengongsian ilmu ini akan diberkati oleh-Nya jua. Amin.
Dengan ini kami sukacita memperturunkan sebuah pantun:
Buah Tibadak di luar pagar
Ambil Galah tolong jolokkan
Kami budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan
Sekian, Wallahualam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan