KILALA NEGARA KITANI
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM merupakan sebuah negara Melayu yang boleh dikatakan tertua di kepulauan Borneo. Ia terletak di sebelah barat laut di kepulauan Borneo iaitu di antara dua buah negeri iaitu Sabah dan Sarawak. Negara Brunei Darussalam adalah salah sebuah negara terkecil di dunia kerana negara ini hanya memiliki keluasan 5,765 kilometer persegi. Mengikut banci penduduk negara pada tahun 2001, keramaian penduduk Negara Brunei Darussalam ialah 322,844 orang sahaja.
Terdapat empat buah daerah di negara Brunei Darussalam iaitu daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong. Bandar Seri Begawan yang terletak di daerah Brunei dan Muara merupakan ibu negara bagi negara yang kita cintai ini. Sebelum tahun 1970, Bandar Seri Begawan dikenali sebagai Bandar Brunei.
Di antara keempat-empat daerah tersebut, daerah Belait adalah daerah yang terbesar sementara daerah yang terkecil ialah daerah Brunei dan Muara. Sumber ekonomi utama bagi negara kitani ialah sumber mentah minyak dan gas yang berpusat di daearh Belait iaitu di Seria. Ekonomi kecil yang kaya ini adalah suatu campuran [keusahawanan] dalam negeri dan asing, kawalan kerajaan, kebajikan, serta tradisi kampung. Pengeluran minyak mentah dan gas asli membentuk hampir separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Brunei Darussalam. Pendapatan yang cukup besar daripada pelaburan luar negeri menambah pendapatan daripada pengeluaran dalam negeri. Kerajaan membekalkan semua perkhidmatan perubatan dan memberikan subsidi beras dan minyak kepada rakyat dan penduduk negara. Pemimpin-pemimpin Brunei berasa bimbang dengan kesepaduan dengan ekonomi dunia yang semakin bertambah akan menjejaskan perpaduan sosial dalaman, walaupun Brunei telah memainkan peranan yang lebih ketara dengan menjadi pengerusi forum APEC pada tahun 2000. Rancangan-rancangan yang dinyatakan untuk masa hadapan termasuk peningkatan kemahiran tenaga buruh, pengurangan pengangguran, pengukuhan sektor-sektor perbankan and pelancongan, serta secara umumnya, peluasan lagi asas ekonominya. (Wikipedia bebas).
Tahun 1984 merupakan tahun yang paling bersejarah bagi negara kitani kerana pada tahun berikutlah negara kitani mencapai hari yang dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk negara kitani iaitu pengisytiharan hari kemerdekaan. Dalam pengisytiharan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan berhasrat untuk menjadikan negara Brunei ini sebagai negara Melayu Islam Beraja.
Setelah negara kitani mencapai kemerdekaan, negara kitani telah memasuki beberapa buah pertubuhan antarabangsa dan serantau seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggar (ASEAN), dan banyak lagi.
****
WANITA DALAM PEMBANGUNAN
Sama seperti negara-negara lain, negara Brunei Darussalam juga amat menitikberatkan terhadap peranan wanita dalam pembangunan negara. Dewasa ini, penyertaan wanita dalam proses pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi negara terus meningkat dan sangt membanggakan.
Dari segi pendidikan, bilangan wanita di peringkat pendidikan juga terus menigkat. Bilangan graduan wanita tempatan dari institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negeri bertambah kira-kira 22 orang pada tahun 1984 kepada 1. Ribu orang pada tahun 1998.
Bilangan wanita bekerja bertambah daripada kira-kira 29.5% daripada jumlah bekerja pada tahun 1986 kepada 43.5% pada tahun 1995. Pekerja wanita juga diberikan berbagaiu program latihan dan latihan semula bagi mempermudahkan penglibatan dan mobiliti mereka dalam ekonomi. (Perjalanan...Negara Brunei Darussalam Memasuki Alaf Baru, 1999:7).
****
SEKTOR MINYAK DAN GAS
Minyak dan gas masih merupakan nadi ekonomi negara Brunei Darussalam dengan menyumbangkan hampir separuh daripada hasil pendapatan tahunan negara dan hampir semua pendapatan eksport negara. Pada tahun 1993 Pihak Berkuasa Mengenai Minyak Dan Gas (BOGA) telah ditubuhkan yang tugasnya antara lain ialah untuk menghadapkan khidmat nasihat dan sokongan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam menganai dasar-dasar dalam semua aspek yang berhubungkait dengan minyak dan gas, produknya dan juga program pelaksanaannya. Dua fungsi yang lain ialah merancang dan mengawal setiap fasa aktiviti yang berhubungkait dengan kemajuan minyak dan produknya dengan mengambil kira keperluan untuk memelihara penggunaan kedua-dua sumber asli ini dan alam sekitar dan juga dalam memberi konsesi melombong minyak dan segala kontrak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Jumlah syarikat yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan upstream dan hiliran tidaklah banyak berubah tetapi usaha sedang giat dijalankan bagi kemajuan selanjutnya trutama dalam kawasan-kawasan konsesi baru dan kegiatan-kegiatan hiliran. Undang-undang berkait dengan petroleum sedang dipinda untuk menarik minat lebih ramai pelabur asing. (Perjalanan...Negara Brunei Darussalam Memasuki Alaf Baru, 1999:25)
UCAPAN
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Ahmad
Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Antarabaangsa Mengenai Isu-isu Kontemporari Dalam Pembangunan Ekonomi Di Negara-negara Kecil
Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada 5 Januari 2005.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ADALAH menjadi satu penghormatan besar serta satu keistimewaan bagi saya menyampaikan ucapan di Persidangan Isu-isu Kontemporari Dalam Pembangunan Ekonomi Di Negara-negara Kecil yang penting ini. Saya yakin ini adalah persidangan antarabangsa yang pertama dalam isu ini dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) selaku tuan rumah. Saya sememangnya amat mengalu-alukan inisiatif ini.
Negara-negara kecil menghadapi beberapa masalah tertentu dalam memperkembangkan serta mempelbagaikan ekonomi mereka. Populasi yang kecil tidak membolehkan ekonomi ikut skala untuk dicapai bilamana hanya mengeluarkan bagi pasaran domestik. Pasaran modal tidak dapat dikembangkan sebagaimana yang diharapkan sebagai yang unggul. Penyelidikan dan potensi bagi penciptaan serta perkembangan produk baru mungkin agak terhalang dibandingkan dengan ekonomi yang lebih besar dengan populasi yang lebih besar.
Sewajarnya negara-negara kecil seharusnya lebih inovatif dalam usaha mereka untuk memperkembangkan ekonomi mereka.
Banyak negara-negara kecil, terutama sekali di Timur Tengah dan Eropah sudah mencapai banyak kejayaan dalam usaha ke arah pembangunan ekonomi, di mana ianya adalah pengajaran yang kita pelajari dari pengalaman mereka. Namun, setiap negara adalah unik. Sumber alam semula jadi, modal tenaga dan fizikal, isu-isu sosial/budaya juga keperluan bagi ketahanan ekonomi bagi generasi di masa hadapan semuanya harus dipertimbangkan dalam menilai segala cadangan pembangunan.
Negara Brunei Darussalam pada masa ini sedang melaksanakan wawasan dan agenda negara di bawah Pelan Pembangunan Negara Ke-8. Sudah pasti, pembangunan negara adalah tumpuan perhatian utama negara-negara moden, besar mahupun kecil. Ianya adalah respons yang mengikut gerak hati dan terancang dalam usaha bagi mendapatkan kewujudan yang lebih baik. Kewujudan adalah kualiti bagi pencapaian yang lebih bermakna - dari segi material mahupun spiritual dan kualiti penghidupan serta penghidupan rakyat yang lebih baik.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat menitikberatkan pembangunan sumber tenaga. Negara Brunei Darussalam meletakkan premium yang tinggi ke atas pengetahuan dan kemahiran. Pendidikan dan latihan adalah penting bagi kemajuan dan pergerakan. Memandangkan rakyat kita adalah satu-satunya sumber yang boleh diperbaharui, kita hendaklah memastikan bahawa mereka sudah cukup bersedia untuk menghadapi segala cabaran di masa hadapan. Dalam abad ini, kita akan menghadapi cabaran perubahan teknologi yang lebih pesat serta saingan yang lebih hebat di kalangan negara-negara. Pertumbuhan dan persaingan ekonomi dalam sebuah negara akan kurang bergantung kepada sumber aslinya malahan lebih kepada kepintaran dan ketahanan rakyatnya.
Bagi kita di Negara Brunei Darussalam, kita tidak seharusnya bersikap acuh tidak acuh terhadap perubahan teknologi yang pesat di sekeliling kita. Sumber-sumber yang kita nikmati seperti minyak dan gas tidak boleh diharapkan akan terus berkekalan melainkan kita kembangkan keupayaan, teknologi serta pengetahuan kita, mengusahakannya sendiri dengan efisien, meneroka segala peluang baru di samping bersiap sedia untuk masa hadapan. Dalam dunia yang dibentuk oleh teknologi, penolakannya hanya akan membawa kepada kelemahan berterusan serta kemungkinan kepupusannya.
Isu penting yang dihadapi oleh banyak negara-negara kecil, bukannya kekurangan wawasan atau agenda untuk maju ke hadapan yang membawa negara ke tahap yang unggul seterusnya, bahkan kegagalan untuk menyampaikan, melaksanakan dan menjalankannya. Untuk mula menyampaikan, melaksanakan atau menjalankan, sememangnya lumrah menemui kegagalan dalam perjalanan bergerak ke hadapan, malahan mencapai kejayaan merupakan perjalanan yang panjang dan sukar. Banyak orang yang berjaya memberitahu saya bahawa tiada jalan pintas ke arah penghidupan yang berjaya bagi seseorang individu atau sebuah negara yang kecil. Negara-negara kecil seharusnya meneliti semula segala keutamaan mereka serta mengeluarkan lebih banyak biaya bagi pendidikan pembangunan manusia agar tidak jauh ketinggalan.
Kita sewajarnya menerima gagasan bahawa melalui kualiti sumber tenaga akan menentukan, sebaik mana kita menghadapi segala cabaran di masa depan. Kita sudah pun menerima betapa pentingnya latihan dan latihan semula. Di waktu yang sama, dunia yang kita diami ini menjadi semakin lebih kompetitif. Apa yang dapat kita saksikan, kewujudan kita sendiri amat bergantung sekali atas keupayaan kita untuk memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran baru. Negara Brunei Darussalam selaku sebuah negara kecil dari segi saiz dan populasinya tidak mampu bersikap sambil lewa terutama sekali dalam mendidik serta melatih rakyatnya.
Demikian juga pihak rakyat tidak wajar bersikap sambil lewa dalam sikap serta pandangan mereka. Daya pemikiran sambil lewa boleh menghalang pembangunan bahkan melumpuhkan masyarakat yang makmur. Kita menyedari kemakmuran ekonomi pada masa ini mungkin mengakibatkan sejumlah para belia kita mengambil mudah dalam menjalani penghidupan di Brunei. Hal ini tidak diingini bagi sebuah negara kecil seperti negara kita.
Kita memerlukan gagasan yang baik lagi unggul di mana kita seharusnya lebih menumpukan perhatian dalam menjalankan, melaksanakan serta menyampaikannya. Gagasan semata memang kecil biayanya tetapi sebaik-baik ianya dijalankan, nilainya menjadi berjuta. Kita boleh mengitar semula gagasan yang baik sehingga esok dan masa depan tetapi kita seharusnya menjalankan, melaksanakan serta menyampaikan projeknya sekarang juga. Kita seharusnya menghala ke arah matlamat yang tinggi. Kita seharusnya bergerak pantas. Kita belajar dari kejayaan dan kegagalan kita. Kita seharusnya bersikap jimat cermat serta komited. Gagasan atau idea, sama ada baru ataupun hebat mempunyai nilai yang kecil, sekiranya ianya tidak dilaksanakan. Oleh yang demikian, kita seharusnya mengetengahkan orang-orang yang mempunyai tenaga dan kuasa untuk menyatakan, 'Marilah kita terus mara membawa perubahan untuk membaiki keadaan. Negara-negara kecil seharusnya memantapkan perubahan melalui rakyat bagi mencapai kejayaan.' Kepimpinan yang kukuh dan baik merupakan satu lagi bahan bagi keunggulan.
Yang pasti, Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang agak mewah. Bagi Negara Brunei Darussalam, isu utama adalah dengan pempelbagaian agar tidak bergantung kepada hasil minyak dan gas untuk menyokong ekonomi. Pengeluaran minyak dan gas memerlukan banyak modal. Sektor ekonomi ini tidak banyak mewujudkan jawatan secara langsung. Sebenarnya kurang dari tiga peratus tenaga buruh di Brunei bekerja di sektor minyak dan gas. Pada masa ini, pengangguran, terutama sekali di kalangan rakyat yang muda dan berpendidikan menjadi isu sosial dan ekonomi yang penting. Sewajarnya apa yang paling diutamakan di Brunei adalah mewujudkan pekerjaan yang memuaskan hati juga produktif bagi para penduduk kita, lebih-lebih lagi bagi golongan muda. Perkembangan ekonomi yang berjaya, berbanding dengan pertumbuhan yang saksama dalam Keluaran Kasar Dalam Negeri atau GDP, seharusnya mewujudkan jenis pekerjaan bagi penduduk yang berpendidikan.
Meskipun ekonomi kecil mungkin mempunyai beberapa kelemahan, sebagaimana yang telah saya sebut awal tadi, Brunei mempunyai banyak kelebihan. Kerajaan yang mantap, penduduk yang berpendidikan, infrastruktur yang amat baik, dengan lokasi yang strategik menjadikannya sesuai sebagai pusat serantau. Terdapat banyak inisiatif yang tersedia termasuklah pelabuhan air dalam yang dicadangkan di Pulau Muara Besar dan Projek Perindustrian Sungai Liang yang telah dirancang berdasarkan ciri-ciri negara kita.
Demi untuk mencapai matlamat pempelbagaian dan pekerjaan, Kerajaan Brunei memulakan banyak inisiatif, melalui pelbagai agensinya. Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei berusaha untuk menarik pelaburan asing di pelbagai kawasan lebih-lebih lagi dalam aktiviti hilir minyak dan gas. Kita juga mengusahakan projek pembangunan dalam bidang perikanan dan pertanian, di samping sektor perindustrian. Pelancongan mempunyai banyak potensi, sebagaimana perbankan dan kewangan Islam, perkhidmatan urus niaga, pengangkutan dan logistik juga pendidikan.
Ini menimbulkan isu koordinasi. Usaha pempelbagaian yang berjaya diselesaikan akan memerlukan institusi pendidikan dan latihan untuk bekerja bersama-sama dengan pembuat dan perancang dasar, badan pengawal atur dan pemegang amanah harta, termasuklah sektor swasta. Dalam hubungan ini, saya ingin menegaskan betapa pentingnya institusi ini, UBD, kedua-dua peranannya dalam mendidik golongan muda kita, juga untuk menganjurkan persidangan seperti ini, yang boleh bertindak sebagai forum bagi pihak yang berminat untuk menimbangkan serta membincangkan trend, cabaran serta peluang pembangunan ekonomi negara-negara kecil. Kemahiran dan pengetahuan kakitangan UBD hendaklah dipergunakan sepenuhnya oleh sektor awam dan swasta, melalui perundingan atau kerjasama penyelidikan demi untuk membantu pembangunan negara.
Aspek institusi ekonomi Brunei juga menjalani perubahan. Dalam hal ini, pihak kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan peranannya dalam ekonomi serta mempromosikan pembangunan sektor swasta yang bertenaga. Ini mungkin melibatkan penswastaan beberapa fungsi kerajaan dan promosi keusahawanan juga perniagaan kecil dan sederhana. Meskipun kerajaan akan terus menjadi elemen yang penting dalam ekonomi tempatan, hanyalah dengan melalui keusahawanan sektor swasta, pertumbuhan yang berkekalan juga pekerjaan, boleh wujud di masa hadapan. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam persidangan ini dengan harapan semoga semua peserta akan memperolehi gambaran yang lebih jelas akan segala cabaran dan peluang bagi pembangunan negara-negara kecil.
Dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan amat sukacitanya mengisytiharkan pembukaan persidangan ini.
Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
SUMBER: http://bruneiresources.com/speeches/attractingfdi.html
***
***
PEMBERONTAKAN BRUNEI 1962
Pada pagi 8 Disember 1962, satu peristiwa berdarah telah berlaku di negara Brunei Darussalam iaitu peristiwa pemberontakan bersenjata. Peristiwa pahit itu telah berlaku di Bandar Brunei (kini dikenali sebagai Bandar Seri Begawan) dan di Kuala Belait yang terletak di daerah Belait. Selain di Brunei, pemberontakan juga berlaku di Bahagain Kelima Sarawak dan di kawasan Sipitang-Weston di Sabah.
Pemberontak-pemberontak pada ketika itu telah menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Nasional Kalimantan Utara (T.N.K.U.). Angkatan pemberontak itu dikepalai oleh A.M. Azhari iaitu ketua Partai Rakyat Berunai (PRB). Sebelum tercetusnya pemberontakan, A.M. Azhari telah pergi ke Filipina bagi menghadiri perjumpaan bersama tentera di sana. Para pemberontak telah dibantu oleh tentera Indonesia. Walaupun pemberontak Brunei tidak memiliki senjata yang cukup, namun mereka telah mencapai beberapa kejayaan seperti tiada penumpahan darah dan rampasan harta benda berlaku di kalangan orang awam.
Berbeza fenomenanya dengan pemberontakan yang berlaku di negeri Sabah. Serangan yang dilakukan oleh para pemberontak di Sabah telah menumpaskan polis di situ lalu merampas beberapa senjata termasuklah senapang patah, pistol dan sebagainya.
Matlamat utama serangan T.N.K.U. adalah untuk menawan istana sultan, rumah kediaman Menteri Besar dan Ibu Pejabat Polis Negeri Brunei di Bandar Brunei. Dengan penawanan berkenaan, T.N.K.U. akan memaksa Baginda untuk membuat pengisytiharan kewujudan negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) yang merdeka dan Baginda sultan akan menjadi ketua negara yang berpelembagaan. (Jamil Al-Sufri, 2003:55-75)
Media massa telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat dan berita mengenai kejadian pemberontakan pada ketika itu. Siaran radio dan akhbar telah membesar-besarkan berita mengenai pemberontakan di Brunei lantas orang-orang Britain (pihak residen) menyangka Kota Kinabalu telah jatuh ke tangan pemberontak. Ketika pemberontakan berlaku di Brunei, kerajaan Sabah telah menghantar bantuan kepada kerajaan Brunei. Kemudian, pihak residen menghantar tentera-tenteranya dari Singapura ke Brunei. Tidak lama kemudian, keadaan pun menjadi reda di Brunei. Pada masa itu, pulau Labuan telah dijadikan pengkalan bagi melawan pemberontak di Brunei dan ramai di kalangan rakyat Brunei berpindah ke Labuan bagi melindungi diri mereka.
Jamil Al-Sufri, 2003. 8 Disember: Dalangnya Siapa?. Bandar Seri Begawan: Pusat Sejarah.
***
***
KEMERDEKAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Kemerdekaan adalah sepatah perkataan yang sangat bernilai maknanya dan tiada kata-kata biasa yang boleh menggantikannya. Perkataan ‘kemerdekaan’ merupakan suatu konsep yang membawa banyak makna. Secara umum konsep kemerdekaan bermaksud bebas daripada cengkaman atau konkongan sesuatu. Kemerdekaan dalam sesebuah negara mempunyai kaitan dengan kebebasan dari cengkaman penjajah. Maknanya sesebuah negara yang merdeka itu harus dapat mengatur diri mereka dan membangun tanpa terikat dengan negara lain. Dan negara yang merdeka itu mestilah juga mempunyai pemerintah dan perlembagaan yang tersendiri.
Pada 1 Januari 1984, Negara Brunei Darussalam telah mencapai kemerdekaan penuh yang disaksikan oleh ribuan rakyat negara Brunei Darussalam. Pengisytiharan kemerdekaan itu telah dilakukan oleh baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan dihadapi oleh 30,000 orang rakyat jelata.
Dengan perisytiharan kemerdekaan ini sejarah telah mencatatkan bahawa resmilah Brunei menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dengan ini juga Brunei dengan sendirinya akan memikul satu tanggungjawab yang berat, iaitu tanggungjawab antarabangsa yang selama ini dipegang oleh British. Kenyataan ini jelas di dalam titah baginda:
“Sekarang tiba masanya bagi Negara Brunei Darussalam mengambilalih semula tanggungjawab antarabangsa sepenuh sebagai sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka di kalangan masyarakat antarabangsa.”
SUMBER: http://www.bruneiresources.com/pdf/nd06_hadi.pdf