AKHLAK TERPUJI HIASAN PERIBADI
A.Amin Jamaluddin
AKHLAK merupakan asas atau intipati dalam Islam kerana tanpa akhlak yang terpuji dan mulia, Islam seolah-olah kurang diamalkan dan dihayati. Akhlak terpujilah yang menjadi penentu sama ada Islam itu benar-benar diamalkan dan dihayati ataupun tidak. Akhlak terpuji adalah akhlak yang dianjurkan Islam melalui keperibadian junjungan besar kita nabi Muhammad (saw). Akhlak Rasulullah (saw) amat melangit dan mulia sehingga dipuji oleh bukan sahaja kawan, bahkan lawan pun juga turut memujinya. Sebagaimana firman Allah (swt) dalam surah al-Qalam ayat 4, “Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) mempunyai budi pekerti yang agung”.
Besandar kepada tafsir di atas, jelas membuktikan kepada kita semua, bahawa Rasulullah merupakan seorang insan yang memiliki akhlak yang amat tinggi, mulia lagi terpuji. Justeru baginda merupakan role model sepanjang zaman bagi sekalian umat Islam. Allah (swt) mengutus Rasulullah untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji agar umat Islam mendapat kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Kerana apa, tanpa akhlak yang terpuji, manusia akan menjadi lalai dari mengingat Allah, menghormati sesama makhluk dan memahami alam semesta. Dan manusia lalai adalah disamakan oleh Allah (swt) seperti binatang yang tidak memiliki akal dan fikiran. Sebagaiman firman Allah (swt) dalam surah al-A’raf ayat 179:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang lalai.”
Akhlak yang terpuji atau yang dikaitkan dengan budi pekerti yang mulia adalah menjadi suatu perhiasan pada diri seseorang individu. Sebagaimana perhiasan merupakan kesukaan kepada semua manusia, maka begitulah dengan akhlak yang terpuji. Ia juga merupakan yang disukai oleh manusia. Dalam erti kata yang lain, akhlak terpuji menjadi hiasan keperibadian seseorang. Perkara ini telah dibuktikan oleh Rasulullah (saw) yang memiliki keperibadian yang luhur.
***
SIFAT ISTIQAMAH MEMBAWA KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN DUNIAWI DAN UKHRAWI
A.Amin Jamaluddin
MENURUT istilah bahasa, Istiqamah bermaksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus dari segenap bidang kehidupan, peribadatan, perlakuan, perhubungan atau pergaulan sesama manusia dan hubungan dengan Maha Pencipta, al-Khaliq (Hablum Minallah a Hablum Minannas). Istiqamah dapat difahami sebagai sesuatu yang tetap atau berperaturan. Banyak manfaat yang akan diperoleh hasil daripada pengamalan Istiqamah dalam kehidupan kita sehari-hari. Umpamanya jika kita rajin menimba ilmu dengan membaca. Sekiranya amalan tersebut dikerjakan secara berterusan, pasti akan membuahkan hasil yang baik iaitu mendapat ilmu pengetahuan yang berguna demi mencapai kebahagiaan hidup. Kebahagiaan dalam kehidupan diperolehi melalui penimbaan ilmu sebanyak-banyaknya; semakin banyak ilmu yang diketahui, semakin meningkatlah rasa bahagia kita dalam kehidupan di dunia dan bekal kehidupan yang abadi kelak.
Sifat Istiqamah adalah sangat dituntut oleh agama kita kerana dengan sifat ini, kita dapat mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Perkara ini sejajar dengan hadis riwayat Sufian Ibni ‘Abdullah r.a menceritakan; “Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku dalam Islam ini satu ungkapan yang mana tidak akan aku bertanya lagi tentangnya daripada orang lain selain engkau’. Rasulullah menjawab; Katakanlah; “Aku beriman kepada Allah” dan tegas baginda lagi hendaklah kamu istiqamah’ (Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasi, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majjah).
Pada dasarnya, istiqamah dapat dibahagikan kepada 3 tahap iaitu pertama istiqmah ditahap hati. Kedua istiqamah ditahap lisan dan akhir sekali ditahap perlakuan atau perbuatan. (Berita Harian, 6 Ogos 2008).
Pada tahap istiqamah hati merujuk kepada teguh iman, sentiasa mempertahankan kejujuran dan mempraktiskan sifat-sifat Mahmudah (mulia) serta mengelakkan daripada melakukan sifat-sifat Mazmumah (terkeji). Mereka yang memiliki iman yang teguh tiak akan mudah tergoda dan terpengaruh kepada segala hasutan syaitan. Mereka juga tidak akan mudah tunduk kepada kehendak nafsu syahwat mereka yang boleh membawa kehancuran hidup di dunia mahupun di akhirat.
Sememangnya, sifat Istiqamah dapat membuahkan iman dan akhlak yang mulia. Kemantapan iman bagi mereka yang sentiasa beristiqamah dalam melakukan sesuatu perkara akan sebati di hati mereka. Apabila iman sudah mendarah-daging di hati manusia, kestabilan akan timbul dengan dalam dirinya. Kestabilan dalam beramal dan beribadat akan dirasakan sehinggakan kita menginginkan untuk menjangkau tahap iman yang lebih tinggi dan sempurna. Apabila perkara ini berlaku, ia akan melahirkan insan kamil yang sentiasa tunduk akan suruhan Allah swt disamping mementingkan kemajuan dalam kehidupan dunia yang sementara dan sentiasa meninggalkan segala apa yang dilarang. Hal ini amat bersesuaian dengan sabda Rasulullah saw “Sebaik-baik amal yang disukai oleh Allah ialah amalan yang istiqamah walaupun sedikit”
Tahap kedua bagi istiqamah ialah lisan. Istiqamah ditahap ini bermaksud sentiasa memelihara tutur kata apabila berinteraksi sesama manusia (hablum minannas). Hal ini adalah semata-mata untuk mencapai keikhlasan dalam bercakap dan dengan keikhlasan, seseorang tidak akan berani berbohong. Apa yang diucapkannya adalah mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu semata. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud “Allah menetapkan orang beriman dengan perkataan yang tetap dalam kehidupan di dunia dan di akhirat” (surah Ibrahim, ayat 27)
Seterusnya ialah tahap perbuatan atau perlakuan. Istiqamah ditahap perbuatan merujuk kepada seseorang melakukan sesuatu amalan dengan tekun, gigih, berusaha, berjuang, tidak mudah berasa bosan, tidak mudah kecwa, tidak mudah cemas dan berani menghadapi segala rintangan dan cubaan yang dihadapi demi mencapai kejayaan hidup didunia mahupun di akhirat.
Istiqamah dalam melakukan sesuatu amalan secara tidak langsung mengajar kita agar sentiasa merasakan nikmat beramal kerana setiap amalan yang dilakukan dengan jiwa dan hati, pasti akan mendatangkan kenikmatan dalam kehidupan. Walaupun sesuatu amalan yang kita lakukan setiap hari dalam kadar yang sedikit, namun ia lebih baik daripada melakukan sesuatu amalan sebanyak-banyaknya sekaligus tanpa berterusan.
Ketiga-tiga tahap istiqamah di atas, tidak boleh tidak dimiliki oleh setiap muslim yang beriman kepada Allah swt kerana sifat istiqamah merupakan salah satu sifat yang mencirikan seseorang mukmin. Sifat istiqamah ini akan dapat menjana kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Ramai di kalangan kita tidak menyedari akan kepentingan istiqamah sebagaimana yang diperintahkan oleh junjungan besar kita. Sememangnya fadhilat istiqamah itu amat besar bagi sesiapa yang istiqamah dalam amalannya. Amalan yang dilakukan bukan atas dasar istiqamah, kebanyakannya lahir dari semangat yang hanya dapat kekal sementara bukan lahirnya dari hati, lebih-lebih lagi bukan lahir daripada kesedaran, keinsafan serta kehambaan pada Allah swt.
Bagi muslim yang sentiasa beristiqamah dalam amalannya akan diberi pehala buatnya terus-menerus, tidak akan putus walaupun suatu ketika ia meninggalkan amalan yang biasa diamalkannya itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dihindarinya seperti sakit. Seandainya sebulan kita jatuh sakit dan terlantar dihospital. Kita tidak dapat melakukan amalan yang biasa kita kerjakan seperti berwirid setiap kali selepas mengerjakan solat fardhu atau mengerjakan solat sunat selepas solat fardhu dan sebagainya. Maka, selama sebulan itu juga pahala kita diberi oleh Yang Maha Kuasa tanpa dikurangkan walau sedikit pun. Bagitulah Maha Pemurahnya Allah swt terhadap hamba-hambanya yang sentiasa beristiqamah dalam amalan mereka.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berazam, beriltizam dan komited dalam mengerjakan setiap amalan yang kita kerjakan secara terus-menerus tanpa rasa bosan. Semoga usaha sebegini dapat meningkatkan darjat kita di sisi Tuhan Rabbul Jalil di akhirat kelak.
Bibliografi
***
ANALISIS LINGIUSTIK DAN KESUSASTERAAN(STILISTIK) PUISI LAGU TROPIKA : SUATU PERBINCANGAN...
Mohamad Asri bin Emin
PENDAHULUAN
Sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut tentang analisis linguistik dan kesusasteraan terhadap puisi Lagu Tropika adalah lebih baik kita membicarakan tentang konsep bahasa dan kesusasteraan iaitu secara berasingan dengan berpandukan kamus ataupun berpandukan pada pandangan sarjana-sarjana dengan tujuan memberikan input atau data yang relevan yang berkaitan dengan linguistik dan kesusasteraan sebagai titik permulaan pengenalan ke arah lanjutan penulisan esei ini sebelum kita membicarakannya dengan lebih lanjut.
Definisi Bahasa (Kamus Nusantara, 2003 : 192), “Sistem lambang bunyi yang abritari(arbiter) yang digunakan oleh seseorang individu yang dalam sesuatu masyarakat sebagai alat perhubungan untuk berkerjasama, berinteraksi, melahirkan fikiran dan pendapat, mengindentifikasi” manakala definisi Kesusasteraan (Kamus Dewan, 1994 : 1194) “Hasil seni(karya tulisan)[1] dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan tertentu”
Melalui kedua-dua definisi yang terpapar sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa kesusasteraan itu terbentuk dan dihasilkan berdasarkan penggunaan bahasa. Sudah setentunya, tanpa bahasa sudah semestinya tidak ada bidang kesusasteraan kerana bahasa dimanifestasikan oleh manusia melalui ujaran atau tulisan dalam bentuk pelbagai ilmu dan hal ini juga melibatkan bidang kesusasteraan. Dengan yang demikian, linguistik(bahasa) dan kesusasteraan merupakan bidang yang berkait antara satu dengan yang lain apabila penelitian tertumpu pada bidang kesusasteraan.
Bidang Linguistik dan kesusasteraan adalah bidang yang mengkaji aspek linguistik dan juga kesusasteraan bersekali. Kedua-dua bidang itu(linguistik dan kesusasteraan) bukanlah dikaji secara terpisah iaitu mengkaji linguistik secara total atau mengkaji kesusasteraan secara total, tetapi ia dikaji dalam bentuk hybrid yang bermaksud kesusasteraan dan linguistik secara total dengan menggunakan bahasa sebagai alat(tool) untuk mengkaji, meneliti, dan menganalisa tentang perkara yang ingin dikaji iaitu kesusasteraan.
Istilah yang lain(maknanya yang hampir sama) yang digunakan dalam bidang kesusasteraan bagi alternatif istilah bidang linguistik dan kesusasteraan adalah menggunakan istilah kritikan stilistik(stylistic) ataupun kritikan formalisme[2](Russia dan Amerika[3]) iaitu karya kesusasteraan itu dinilai atau difokuskan kajian terhadap bahasa dalam bidang kesusasteraan terutama sekali pada perkara yang berkaitan dengan keindahan bahasa(gaya bahasa yang digunakan dalam suatu atau semua karya kesusasteraan), keindahan makna, keindahan bunyi-bunyi bahasa ataupun hal-hal yang berkaitan dengan kajian bahasa kesusasteraan.
PERBEZAAN ANTARA BAHASA KESUSASTERAAN(LITERARY LANGUAGE) DENGAN BAHASA BUKAN KESUSASTERAAN(NON-LITERARY LANGUAGE).
Terdapat persoalan yang ingin ditimbulkan(dipersoalkan) iaitu kenapa bahasa kesusasteraan(literary language) itu berbeza dengan bahasa bukan kesusasteraan(non-literary language), sedangkan ia juga terbentuk kerana bahasa..? Untuk menjelaskan persoalan ini, sudah semestinya bahasa kesusasteraan itu mempunyai daya tarikan estitika kerana ia merupakan salah satu berbentuk nilai seni halus(fine art) yang mempunyai ciri dan nilai estitika seperti yang dinyatakan oleh Kelher, Ashok. R., (1987 : 2) :“Literature is a species of fine art comparable to the other art”. Dengan yang demikian, jelas terdapat perbezaan antara bahasa kesusasteraan iaitu bahasa kesusasteraan merupakan satu jenis(bentuk) fine art(seni halus) sedangkan dalam bahasa sehari-hari bukanlah dikategorikan sebagai fine arts.
Dari segi kesan atau impaknya pula, bahasa kesusasteraan mampu menimbulkan stimulus atau rangsangan yang boleh mencetuskan literary respone. Literary respone tercetus apabila seseorang itu dapat menghayati dan memahami estitika(keindahan) pada karya kesusasteraan tersebut sehingga khalayak terkesan akan keindahan bahasa kesusasteraan tersebut. Hal yang boleh menimbulkan literary respone ini wujud kerana wujudnya unsur unusual(luar biasa) yang terdapat pada bahasa kesusasteraan seperti wujudnya unsur figurative writing[4] atau figure of speech, permanipulasian bunyi-bunyi bahasa dan deviasi bahasa. Pernyataan-pernyataan ini berkontaradiksi dengan ciri-ciri bahasa sehari-hari yang tidak mencetuskan literary respone disebabkan tidak wujud unsur figurative writing atau figure of speech, pemanipulasian bunyi-bunyi bahasa dan deviasi bahasa kerana ia bukanlah tuntutan yang diperlukan dalam bahasa sehari-hari. Bahasa sehari-hari lebih mementingkan makna yang jelas, nyata atau direct. Oleh itu, literary respone tidak tercetus pada bahasa sehari-hari.
Seterusnya adalah diperlihatkan kelainan bentuk komunikasi antara ke dua-dua bahasa tersebut. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bahasa kesusasteraan mempunyai ciri atau unsur estitika dari segi komunikasinya. Hal ini membezakannya dengan bahasa bukan kesusasteraan (non-literary language) yang dikomunikasikan bukun tujuan estitika kerana bahasa sehari-hari dianggap atau dianalogikan sebagai bahasa biasa. Dengan itu, hal yang besifat estitika atau seni halus(fine arts) dalam bidang kesusasteraan ini tidak dikomunikasikan sepenuhnya pada bahasa manusia sehari-hari. Hal ini sama seperti pernyataan yang dikemukakan oleh Carter, Ronald (1990 : 501):
“...Poetic Language does not communicate in the way which is comparable with normative, standard language. In fact, the main function is to be self reffering and to communicate about itself.”
Sebagai kesinambungan pada perenggan sebelum ini, bahasa-bahasa kesusasteraan yang antaranya terbentuk melalui kata, frasa, ayat, rangkap dan wacana atau teks (secara holistik) sama ada penggunaanya melalui sistem tulisan atau lisan, telah diperlihatkan atau ditonjolkan ciri-ciri yang berlainan dengan bahasa sehari-hari kerana pengarang(penutur) dalam bidang kesusasteraan berusaha untuk memperindahkan bahasa dalam karyanya. Untuk memperbandingkan antara literary language(usage) dengan non-literaray language (usage) boleh dirujuk pada perbandingan contoh-contoh berikutnya.
Bahasa sehari-hari :
1. Misalnya ayat ‘ saya minum teh di cafe tadi’.
2. Misalnya ayat : ‘dia sangat cantik’.
3. Misalnya ayat : Dia tidak dapat berkata-kata.
Bahasa kesusasteraan (literary language) :
1. ‘haus dahaga tekak dibasahi(minum) dengan teh, ketika saya di cafe tadi’.
2. Wajahnya indah bak bulan purnama.
3. Lidahnya kelu tersimpul untuk bertutur.
Seperti yang kita teliti pada contoh yang dipaparkan sebelum ini, jelas bahawa ia memperlihatkan perbezaan antara penggunaan bahasa sehari-hari dengan penggunaan bahasa kesusasteraan[5]. Antara contoh-contoh yang terdapat pada contoh bahasa sehari-hari itu merupakan antara bentuk bahasa yang seringkali(sehari-hari) diujarkan atau dituliskan(ditemui) sehari-hari. Apabila manusia menanggap komunikasi bahasa itu seringkali diguna-pakai dalam bahasa sehari-hari maka secara psikologinya manusia merasakan bahawa ia tidak akan menimbulkan suatu yang luar biasa, tiada nilai estitika, tiada nilai seni halus kerana manusia tidak dapat dirasakan estitikanya(keindahannya) dan tiada daya tarikan yang mampu memikat manusia. Hal ini bertentangan dengan contoh-contoh yang terdapat pada bahasa kesusasteraan merupakan bahasa yang hanya digunakan dalam bidang kesusasteraan sebagai tujuan estitika(aesthetic) yang mampu memarik perhatian dan emosi kebanyakan manusia dengan mengamati suatu yang berlainan[6] semata-mata untuk memenuhi santapan(kehendak) rohani manusia[7].
Hal yang diterangkan sebelum ini telah disedari-rasakan oleh manusia(manusia yang memahami nilai kesusasteraan) bahawa keindahan bahasa kesusasteraan yang ditonjolkan atau diperlihatkan dengan ciri-ciri estetik(indah) itu, mampu menarik minat, keinginan, menyentuh perasaan diri pengarang dengan manusia yang lain(khalayak). Sedangkan hal ini tidak dapat dirasakan pada penulisan atau pengujaran di dalam bahasa bukan kesusasteraan(non-literary language) kerana ia merupakan bahasa yang biasa digunakan oleh manusia sehari-hari. Oleh itu, bahasa kesusasteraan disifatkan sebagai bahasa yang mempunyai keistimewaan dan keindahan. Perkara ini selari dengan pernyataan yang dikatakan(dituliskan) oleh Carter, Ronald(1990 : 505)
“...if literature is special then its language must differ. In many formalistic definitions literary language is seen as existing of its own sake and as being somehow autonomous and, therefore, differentiable as communication from ordinary, or ‘non literary’.
ANALISA PUISI LAGU TROPIKA.
Dalam esei ini, akan dipaparkan puisi Lagu Tropika sebagai bahan atau data yang ingin dikaji atau dianalisis menurut perspektif linguistik dan kesusasteraan ataupun dalam istilah yang iaitu kritikan stilisitik. Puisi ini telah ditulis oleh Yahya M.S[8]. Puisi itu dipaparkan seperti berikut :
Lagu Tropika
Hawa tropika itulah cintaku
Adikku tapi yang kaurindu ialah salju
Kita tidak lagi pernah bertemu
Berbisik dalam bisu
Hawa tropika ialah darahku
Adikku, tapi yang kaucari ialah nafsu
Kita berbagi dengan sendu
Bertentangan dalam pilu
Hawa tropika adalah untukku
Untuk diburu
Untuk cemburu
Berdendam dalam restu
Hawa muak di kamar ini musuhku
Di tangga kau membuka pintu
Tapi aku lahir di sini mati di sini, aku
Dengan segenap cinta dan sayu.
Lagu nyiur ialah laguku
Hawa tropika ialah cintaku
Yahya M.S
Kolej Islam Malaya
Kelang, Selangor
27 April 1962
KAJIAN PSIKOLINGUIS-STILISTIK(ANTARA PENGARANG DENGAN KARYA)[9]
Terdapat persoalan yang ingin dikemukakan iaitu bagaimana seseorang itu menulis atau mengujarkan bahasa..? Untuk menjawab persoalan ini adalah kerana seseorang sudah secara semulajadinya manusia itu mempunyai daya kognitif yang tinggi(natural intelligence) yang dicipta oleh Tuhan yang Maha Pencipta dengan upaya Semantik Semulajadi(Innate Semantic bersekali)[10] berbeza dengan ciptaan makhluk yang lain seperti binatang atau haiwan berkecualilah kognitif para malaikat, jin, syaitan dan iblis. Keupayaan kognitif manusia berdasarkan keupayaan semantik semulajadi ini membolehkan manusia menukarkan(converts) perujukan-perujukan(references) dari minda dan pancaindera mereka ke bentuk bukan bahasa lisan dan tulisan[11] dan juga bahasa lisan dan tulisan(kata, frasa atau ayat) termasuk juga susunan pembentukan sesuatu bahasa dengan berstrukutur(susunan bahasa yang diterima akal) dan keperluan pada penyelarasannya dengan tatabahasa[12] sama ada penulisan(pertuturan) atau pengambarannya(imajinasi) berdasarkan kreativiti pengarang. Hal yang sedemikian turut berlaku dalam bidang kesusasteraan sama ada secara penulisan dan lisan.
Unit-unit leksikon yang ada di dalam medan broca(sebahagian organ di dalam minda manusia) pengarang atau penutur terbingkas(dibingkaskan) secara spontan atau tidak spontan tetapi bersifat natural berdasarkan ketepatan refresentrasi simantik yang dihasratkan oleh pengarang(pengujar) dengan cara membingkas atau terbingkas satu per satu membentuk unit morfologi dan seterusnya membentuk sintaksis iaitu berdasarkan morfo-sintaksis[13]. Hal yang berkaitan dengan semantik driven(didorong-pandu) yang berproses dalam minda sesetiap individu ini dapat direalisasikan(dinyatakan) ke bentuk luaran iaitu melalui pertuturan ataupun pengujaran mengikut hasrat dan keinginan penulis. Hal ini jelas, dapat kita teliti pada pengarang puisi Lagu Tropika ini yang menulis berdasarkan ketepatan refresentrasi simantik yang dihasratkan oleh pengarang(pengujar) dengan cara membingkas atau terbingkas satu per satu membentuk unit morfologi dan seterusnya membentuk sintaksis(morfo-sintaksis) sehingga terbentuknya karya Lagu Tropika. Hakikatnya setiap ayat tidak terus menerus membentuk menjadi ayat namun ayat terbentuk daripada kata atau frasa dan kemudian membentuk ayat(morfo sintaksis).
Penulis(pengarang) bagi puisi Lagu Tropika ini mampu untuk menulis karyanya mahupun hasil tulisannya berdasarkan ketepatan hasrat dan keinginan penulis dengan cara menulis suatu kata atau frasa itu ke bentuk kata atau frasa seterusnya membentuk suatu ayat. Begitulah proses yang berurutan berlaku daripada hasil proses morfo-sintaksis yang membentuk suatu ayat dan ayat yang seterusnya. Sebagai contoh analisanya berdasarkan sebahagian dari puisi Lagu Tropika adalah seperti berikut :
Hawa tropika itulah cintaku
Adikku tapi yang kaurindu ialah salju
Kita tidak lagi pernah bertemu
Pengarang mempunyai hasrat atau keinginan untuk menulis atau menyampaikan sesuatu pada karyanya. Pengarang cuba membentuk hasrat semantik atau refresentrasi semantik ke bentuk tulisan itu dengan menggunakan morfologi kepada sintaksis iaitu morfo-sintaksis. Sebagai contohnya :
1. Penulis menulis kata ‘hawa’ sebagai pembuka kata pada suatu ayat. Kemudian ditulis lagi dengan kata ‘tropika’, kemudian frasa ‘itulah’ dan kemudian frasa ‘cintaku’. Begitulah prosesnya membentuk ayat.
2. Kemudian penulis menulis frasa ‘adikku’, dikuti dengan kata ‘tapi’, dikuti dengan kata ‘yang’, kemudian diikuti dengan frasa ‘kaurindu’ kemudian dikuti dengan kata ‘ialah’ dan dikuti pula dengan kata ‘salju’. Begitulah prosesnya membentuk ayat yang seterusnya.
3. Kemudian memulakan ayat yang baru iaitu pengarang telah menuliskan kata ‘kita’ sebagai pembuka ayat yang mendorong kea rah kesesuai perkataan yang seterusnya. Seterusnya pengarang menambah dengan frasa ‘tidak lagi’. Seterusnya diikuti dengan kata ‘pernah’. Akhirnya pengarang menulis kata ‘bertemu’ sebagai penyudah sebaris ayat.
Begitulah pada kata, frasa, ayat, rangkap, atau keseluruhan rangkapnya dibahagikan strukturnya kepada kata atau frasa demi kata atau frasa seterusnya membentuk ayat. Setiap kata atau frasa merefresentrasikan ketepatan semantik ke bentuk pengujaran atau penulisan. Sebagai contoh mudahnya adalah boleh dirujuk bentuk susunan penerbitan ayatnya pada berikut :
1. Hawa à tropika(atau Hawa Tropika dalam bentuk frasanya) à itulah à cintaku. à [Hawa tropika itulah cintaku].
2. Adikku à tapi à yang à kau à rindu à ialah à salju. à [Adikku tapi yang kau rindu ialah salju].
3. Kita à tidak à lagi à pernah à bertemu. à [Kita tidak lagi pernah bertemu].
Dengan yang demikian, pengarang bukanlah menulis sesuatu sajak terus menerus membentuk ayat, wacana atau teks. Akan tetapi, adalah berdasarkan proses morfo-sintaksis dari penerbitan suatu kata atau frasa berkesinambungan pada kata atau frasa berikutnya seterus membentuk ayat, wacana ataupun teks.
PENGAPLIKASIAN TEORI FOREGROUNDING KE ARAH ANALISIS SAJAK LAGU TROPIKA
Apabila dianalisa sajak Lagu Tropika ini, jelas terdapat unsur foregrounding yang melibatkan 3 aras(level) utama iaitu pada aras fonetik, pada aras sintaksis dan pada aras semantik. Namun apakah yang dikatakan sebagai teori foregrounding itu? Menurut Jan Mokuruvsky(1938)[14], foregrounding bermaksud:
“It refers the range of stylistic effects that occur in literature, whether at the phonetic level (e.g., alliteration, rhyme), the grammatical level(e.g., inversion, ellipses), or the semantic level (e.g., methapor, irony). “
“......In literary text, foregrounding is structured : it tends to be both systematic and hierarchical. That is, similar feature may occur, such as pattern of assonance or a related group pg metaphor, and one set of features will dominate the others.”
Melalui pernyataan yang dikemukakan oleh Jan Mukuruvsky mengenai Foregrounding, terdapat 3 aras(level) yang relevan dengan kajian atau analisa puisi Lagu Tropika ini yang melibatkan aras semantik(permaknaan), aras sintaksis dan aras fonetik tersebut. Perkara ini akan diperjelaskan pada berikutnya :
1) PENULISAN BERBENTUK FIGURATIVE WRITING ATAU FIGURE OF SPEECH BERDASARKAN TEORI FOREGROUNDING.
Apabila kita mengamati sajak ini terdapat unsur foregrounding pada penulisan yang berbentuk figurative writing atau figure of speech ini iaitu, ia lebih ditonjolkan pada aras semantiknya berbanding pada aras sintaksis atau fonetik. Tujuannya yang utama adalah memberikan sesuatu yang luarbiasa atau berlainan(unusual) dari segi maknanya(semantik) antaranya permaknaannya itu tidak boleh dirujuk secara terus menerus(direct) pada kamus atau memerlukan pemahaman hal yang tersirat. Antara penulisan berbentuk penulisan figurative writing berdasarkan teori foregrounding itu adalah seperti berikut:
A) Ambiguiti.
Pengarang ada memasukkan unsur ambiguiti ke dalam karya beliau. Ambiguiti merujuk kepada makna kata, frasa yang tidak jelas maksud sehingga menimbulkan ketaksaan atau sesuatu yang tidak jelas maknanya. Makna yang berbentuk ambiguiti menyebabkan pembaca dan pengkaji sukar untuk memahami makna karya itu(yang terdapat pada kata, frasa ataupun ayat) atau tidak memahami langsung makna karya itu. Permaknaan yang berbentuk ambiguti ini memerlukan interfretasi(tafsiran) permaknaan. Kadang-kadang(mungkin juga selalunya) permaknaannya juga memberikan intrefretasi(tafsiran) yang banyak sehingga boleh menimbulkan keraguan atau kekeliruan dalam menafsirkan makna ambuguti. Dengan yang demikian, keraguan dan kekeliruan itu merupakan perkara biasa berlaku dalam menafsirkan perkara yang berkaitan dengan ambuguti.
Sebagai contoh petikan ayat dari puisi tersebut adalah seperti berikut:
1. Hawa tropika itulah cintaku
2. Hawa muak di kamar ini musuhku
Apabila kita menganalisis data-data yang berkaitan dengan ambuguiti seperti yang tertera pada contoh sebelum ini(contoh ambuguiti), jelas bahawa terdapat hal yang berkaitan dengan ketaksaan atau ketidak-jelasan maknanya. Sebagai contohnya ‘Hawa tropika itulah cintaku’ dan juga ‘hawa muak di kamar ini musuhku’. Terdapat persoalan yang memerlukan penjelasan terhadap petikan sajak tersebut, misalnya :
1. ‘apakah yang dimaksudkan ‘hawa tropika’..?
2. kenapa ‘hawa tropika’ itu merupakan cinta pengarang...?
3. apakah pula yang dimaksudkan dengan hawa muak...?
4. kenapa pula hawa muak di kamar ini menjadi musuh pengarang...?
Dengan mengemukakan sebahagian persoalan-persoalan seperti yang diperlihatkan sebelum ini, jelas bahawa terdapat bermacam-macam interpretasi daripada khalayak(sama pembaca ataupun pendengar) sehingga menimbulkan tafsiran makna yang bermacam-macam ataupun khalayak tidak dapat menafsirkan makna suatu kata, frasa dan ayat itu dengan jelas lagi tepat. Pengarang sengaja memasukkan unsur ambiguiti dengan tujuan estitika(memperindahkan gaya bahasa penulisan puisi beliau) agar khalayak dapat berfikir dengan kritis pada maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang.
B) Metafora
Pengarang ada memasukkan unsur metafora di dalam karya beliau. Metafora merujuk kepada konsep bahasa kiasan yang mempunyai makna tertentu. Makna tersebut adalah berbeza daripada makna yang terdapat pada struktur kata, frasa, ayat sesuatu karya secara litrealnya dan makna kamusnya(yang tersurat).
Antara contoh petikan frasa yang berkaitan dengan unsur metafora adalah seperti “Lagu Tropika”. Jika kita memikirkan makna Lagu Tropika sebagai makna kamus maka ia tidak sama sepertimana yang dimaksudkan oleh pengarang. Frasa Lagu Tropika merupakan frasa yang mempunyai makna tersiratnya dan memerlukan tafsiran tertentu. Salah satu tafsiran frasa Lagu Tropika ini iaitu permaknaan yang berbentuk ambuguiti(khususnya berbentuk Metafora ini) seolah-olah memperkaitkan hal-hal yang berkaitan dengan perjuangan terhadap tanah air sendiri. Hal ini boleh diteliti pada berikutnya :
1. ‘Lagu’ yang dimaksudkan oleh pengarang adalah boleh saja merujuk kepada ‘puisi beliau sendiri’.
2. ‘tropika’ pula boleh ditafsirkan pada perkara yang berkaitan dengan ‘iklim panas(secara directnya) atau boleh dirujuk kepada negeri sebelah timur(pengarang adalah seorang yang berbangsa Brunei sudah pastinya hal yang merujuk kepada negeri Brunei)’.
3. Oleh itu, jika ditafsirkan maknanya dalam bentuk frasa Lagu Tropika boleh saja permaknaanya merujuk kepada ‘puisi yang berkaitan dengan cinta pengarang terhadap negeri yang dicintainya’.
Begitu juga dengan petikan ayat ‘hawa tropika ialah darahku’ dan ‘hawa tropika itulah cintaku’ yang mempunyai maksud maksud tertentu yang tidak boleh dirujuk pada kamus sepenuhnya. Jika kita memerhatikannya pada maksud kamus juga ia akan tidak menyemai maknanya dengan maksud dan kehendaki oleh pengarang. Jesteru itu, untuk memudahkan kita meneliti maksud ‘hawa tropika ialah darahku’ dan ‘hawa tropika ialah cintaku’ adalah dengan memgemukakan penceraian bahagian ayat bersertakann maknanya sekali, cuba teliti hal-hal yang relevan ini seperti berikut:
1. ‘hawa tropika’ memberikan maksud negeri asal usul kita(dilahirkan dan dibangsakan) rujukkannya adalah negeri di sebelah timur kerana ia berhawa tropika atau panas.
2. ‘darahku’ memberi maksud iaitu ‘darah’ itu merujuk kepada diri pengarang. ‘ku’(mungkin pengarang sendiri). Hal yang berkaitan dengan tempat ia(pada partikel ‘ku’) dilahirkan, dibesarkan, mungkin saja tempat ia dimatikan atau tempat asal usul pengarang.
3. ‘cintaku’ memberikan maksud abstrak iaitu berkaitan dengan rasa cinta pengarang, pengorbanan pengaran semata-mata terhadap negeri ditempatnya bernaung, kesetiaan pengarang terhadap tempatnya bernaung(kesetiaan terhadap pemerintah atau sultannya juga).
Seperti yang telah dijelaskan pada perenggan-perenggan sebelum ini jelas bahawa unsur metafora itu ada dimasukkan ke dalam puisi pengarang. Unsur metafora itu merupakan bahasa kiasan yang mempunyai makna tertentu. Permaknaan dalam bentuk Metafora itu tidak semestinya merujuk pada maknanya secara direct ataupun mengikut permaknaan kamus.
C) Personafikasi
Pengarang ada memasukkan unsur personafikasi ke dalam karya beliau. Personafikasi merujuk kepada bahasa kiasan yang menggunakan sesuatu objek(benda, makhluk lain selain daripada manusia) itu menyerupai dengan perwatakan atau sifat manusia. Hal yang bersangkutpaut dengan personafikasi itu dapat diamati pada petikan puisi berikut:
Hawa tropika adalah untukku
Untuk diburu
Untuk cemburu
Apabila kita cuba melakukan analisis terhadap petikan puisi yang bersangkutpaut dengan personafikasi ini, jelas bahawa hal yang sedemikian lebih jelas apabila kita mempersoalkan seperti berikut :
1. Hawa tropika adalah untukku? namun kenapa perlu diburu dan kenapa perlu dicemburu?
2. Hanya manusia yang memiliki perasaan cemburu?
Persoalan yang dikemukakan sebelum ini telah memberikan kita hint atau clue, bahawa ‘hawa tropika adalah untukku’ adalah ‘untuk dicemburu’ dan ‘untuk diburu’ yang menyerupai sifat atau perbuatan manusia iaitu cemburu dan berburu. Oleh itu, ciri figurative writing yang berunsurkan personafikasi, jelas terdapat pada puisi Lagu Tropika sebagaimana yang dibuktikan sebelum ini.
D) Paradoks
Pengarang juga ada memasukkan unsur paradoks ke dalam karya beliau. Paradoks merujuk kepada unsur yang bertentangan pada suatu kata, frasa dan ayat. Menurut Nurazmi Kuntum(2005 : 29), “paradoks merupakan frasa dalam baris-baris sajak yang menggambarkan ciri-ciri berlawanan khususnya dari segi maksud”. Melalui pernyataan-pernyataan yang dikemukakan oleh Nurazmi Kuntum itu, jelas bahawa terdapat unsur yang bertentangan pada suatu kata, frasa dan ayat.
Sebagai contoh(antaranya) petikan ayat dari puisi tersebut adalah seperti berikut:
Berbisik dalam bisu
Pengarang ada memasukkan unsur paradoks iaitu ‘berbisik dalam bisu’. Terdapat persoalan yang berkaitan dengan paradoks iaitu bagaimana kita boleh berbisik sedangkan kita dalam keadaan bisu? Secara perbandingannya(paradoksnya) iaitu konsep berbisik adalah berbeza dengan konsep bisu. Jika seseorang itu berbisik, sudah setentunya seseorang itu mengeluarkan suara sedangkan bisu pula merujuk kepada orang yang tidak boleh bertutur atau orang yang tidak mengujarkan bahasa.
Jelas bahawa unsur paradoks itu telah memberikan unsur foregrounding dengan tujuan estitika. Kelainan penggunaan ayat dari bahasa sehari-hari seperti “berbisik dalam bisu’ telah memberikan kesan estitika kepada khalayak(sama pembaca atau pendengar).
E) Ironi
Pengarang ada memasukkan unsur ironi ke dalam karya beliau. Ironi merujuk kepada unsur penipuan atau kepura-puraan pada kata, frasa dan ayat secara direct. Kadang-kadang unsur ironi itu menimbulkan sindiran dan adakalanya tidak mengandungi unsur sindiran. Ironi adalah mengatakan sesuatu dengan makna atau maksud berlainan dari kata, frasa mahupun ayatnya. Sebagai contoh(antaranya) petikan yang bersangkutpaut dengan ironi dapat diamati pada contoh petikan ayat dari puisi Lagu Tropika :
Adikku, tapi yang kau cari adalah nafsu
Unsur ironi itu wujud apabila kita cuba memecahkan kepada berberapa persoalan berikut iaitu:
1. Betulkah adikku itu mencari nafsu...?sedangkan nafsu itu berbentuk abstrak(yang tidak dapat dilihat dengan nyata..? Hal ini jelas menujukkan bahawa terdapat unsur kepura-puraan dan sindiran.
2. Nafsu yang bagaimanakah yang dimaksudkan oleh pengarang...?
3. Kenapa pengarang bermaksud adikku mencari nafsu...?
Setelah kita menyatakan persoalan-persoalan seperti yang tertera sebelum ini, jelas terdapat satu unsur kepura-puraan yang dikemukakan oleh pengarang pada puisi beliau. Terdapat perbezaan antara makna denotative(tersurat) pada petikan ayat ‘Adikku, tapi yang kau cari adalah nafsu’ secara lateral atau direct dengan makna kontatifnya(yang tersirat). Nafsu yang dimaksudkan oleh pengarang adalah berkaitan dengan keinginan atau hasrat mahupun nafsu yang bertentangan dengan kehendak agama membolehkan seseorang atau sesetengah masyarakat terpesong akidah, cenderung melakukan maksiat atau melakukan perkara yang dilarang dalam agama khususnya adalah agama Islam.
3) ANALISA PERMAINAN BUNYI-BUNYI BAHASA BERDASARKAN TEORI FOREGROUNDING.
Permainan bunyi-bunyi bahasa merupakan permanipulasian bunyi-bunyi bahasa untuk tujuan estitika(keindahan). Hal yang berkaitan dengan fonologi(termasuk fonetik) ini melibatkan rima[15] dan metre[16] sebagai unsur yang dianalogikan sebagai nadi kepada bahasa puitis. Secara kebiasaannya, karya kesusasteraan itu melibatkan antaranya unsur asonansi, aliterasi, anafora dan permainan bunyi rima akhir(misalnya boleh dirujuk pada bunyi-bunyi rima akhir yang terdapat pada syair dan pantun).
A) Asonansi
Pengarang bagi sajak Lagu Tropika ini ada memasukkan unsur asonansi ke dalam karya beliau. Asonansi merupakan pengulangan bunyi atau huruf vokal dalam suatu baris sajak. Pada hakikatnya, huruf vokal merupakan teras(core) pembentukan suku kata dalam sesuatu kata, frasa dan ayat. Pengulangan vokal pada satu baris ayat telah meninggalkan kesan estitika dari segi bunyinya.
Antara contoh petikan ayat pada puisi tersebut :
1) Adikku tapi yang kaurindu ialah salju
2) Adikku, tapi yang kaucari ialah nafsu
Daripada petikan ayat dari puisi tersebut, terdapat unsur pengulangan huruf(sebutannya juga) ‘u’[u]. Untuk memudahkan kita menelitinya, kita boleh memerhatikannya pada suku kata yang bergaris pada contoh yang dipaparkan sebelum ini.
Selain daripada itu, antara contoh yang berkaitan dengan unsur asonansi adalah seperti berikut:
Hawa tropika ialah darahku
Daripada petikan ayat dari puisi tersebut, terdapat unsur pengulangan huruf(sebutannya juga) ‘a’[a]. Untuk memudahkan kita menelitinya, kita boleh memerhatikannya pada suku kata yang bergaris pada contoh yang dipaparkan sebelum ini.
Dengan itu, jelas bahawa pengarang ada juga memasukkan unsur asonansi bagi memperindahkan lagi bunyi-bunyi bahasa pada puisi beliau. Hal ini juga berkaitan dengan teori foregrounding pada aras fonetik seperti yang dinyatakan oleh Jan Mukurovsky dengan tujuan estitika dan seterusnya menimbulkan stilistik effect kepada khalayak[17].
B) Permainan bunyi rima-rima akhir.
Pengarang puisi Lagu Tropika, ada memasukkan unsur permainan bunyi pada rima-rima akhir kata pada setiap ayat dalam puisi tersebut. Rima Akhir merujuk kepada pengulangan nyata yang terdapat pada suku kata akhir yang sama(mungkin juga bersilang seperti rima akhir pantun). Apabila dianalisis sajak Lagu Tropika ini, didapati bahawa terdapat pengulangan huruf(termasuk sebutannya) ‘u’[u] pada setiap akhir suku kata di setiap baris ayat. Untuk pembuktiaanya adalah boleh dirujuk pada puisi Lagu Tropika di halaman 3 esei ini. Sila perhatikan rima akhir pada setiap baris ayat pada sajak tersebut.]
Dengan itu, jelas bahawa pengarang ada juga memasukkan unsur permainan bunyi rima-rima akhir bagi memperindahkan lagi bunyi-bunyi bahasa pada puisi beliau. Hal ini juga selari dengan penggunaan teori foregrounding pada aras fonetik seperti yang dinyatakan oleh Jan Mukurovsky dengan tujuan estitika dan seterusnya menimbulkan stilistik effect(kesan daripada stilistik atau estitikan) kepada khalayak.
4) PENGGUNAAN UNSUR DEVIASI(PENYIMPANGAN) BAHASA BERDASARKAN TEORI FOREGROUNDING
Deviasi bahasa adalah merujuk kepada penyimpangan peraturan bahasa sepertimana penyimpangan terhadap aspek sintaksis, morfologi, fonologi dan juga mana-mana elemen laian yang bersangkupaut dengan ilmu linguistik. Untuk memudahkan pemahaman kita tentang deviasi bahasa, melakukan deviasi bahasa adalah melakukan kesalahan bahasa(terutama dari segi aspek tatabahasa).
Hal yang berkaitan dengan deviasi bahasa ini bukanlah bertujuan untuk mencacat-celakan bahasa dalam bidang kesusasteraan kerana ia adalah merupakan tuntutan yang diperlukan dalam bidang kesusasteraan. Tuntutan yang memestikan deviasi bahasa itu adalah bertujuan untuk menonjolkan seni berbahasa(verbal arts) atau estitika berbahasa(aesthetic language) dengan memperlihatkan ciri bahasa yang berlainan dari bahasa sehari-hari.
Dengan penggunaan unsur deviasi bahasa tersebut, ia mampu menimbulkan kesan estitika(aesthetic effect) kepada khalayak(sama ada pendengar atau pembaca) yang timbul dan dirasakan oleh khalayak ketika membaca karya kesusasteraan. Oleh sebab itulah, kebanyakan karya kesusasteraan seringkali terdapat kesalahan bahasa pada karya-karya kesusasteraan yang dilakukan oleh pengarang, namun yang demikian deviasi bahasa yang dilabelkan sebagai kesalahan bahasa tersebut adalah tidak wajar atau tidak boleh dikategorikan sebagai kesalahan bahasa(error analysis) kerana ia berada di luar skop analisis kesalahan bahasa(error analysis).
Deviasi dalam bahasa dalam sajak Lagu Tropika itu melibatkan salah satu dari berberapa gejala seperti berikut :
A) Omisi
Omisi(omission) adalah merujuk kepada penghilangan sesuatu unsur bahasa(fonologi, morfologi, sintaksis) atau gatra bahasa sepertimana tanda baca, penghilangan sesuatu kata terbitan, penghilangan morfem terikat, penghilangan sesuatu frasa, penghilangan sesuatu kata terbitan yang sepatutunya unsur tersebut ada pada ayat tersebut.
Apabila kita menganalisa sajak Lagu Tropika ini, terdapat unsur deviasi bahasa yang disengajakan oleh pengarang iaitu pengarang menghilangkan sesuatu unsur yang diperlukan bagi memenuhi konsep tatabahasa iaitu, boleh diteliti pada petikan dari sajak yang dipaparkan pada berikut :
Hawa tropika adalah untukku
Untuk diburu
Untuk cemburu
Berdendam dalam restu
Cuba kita perhatikan pada kedua-dua frasa iaitu ‘untuk diburu’ dan ‘untuk dicemburu’ jelas bahawa ada unsur omisi iaitu tidak mempunyai bahagian subjek. Perlakuan deviasi bahasa pada struktur ayat dalam sajak ini menyebabkan struktur ayat tesebut bersifat tidak gramatis kerana tidak mempunyai bahagian subjek. Jelas sekali, terdapat unusr deviasi bahasa dalam bentuk omisi yang dilakukan oleh pengarang untuk tujuan estitika.
B) Salah susunan kata atau frasa
Salah susun kata atau frasa adalah merujuk kepada salah susunan perkataan pada binaan sesuatu frasa atau binaan sesuatu ayat. Hal ini menyebabkan berlakunya penyimpangan bahasa iaitu boleh diteliti pada petikan ayat-ayat dari puisi Lagu Tropika :
Tapi aku lahir di sini mati di sini, aku
Bertentangan dalam pilu
Melalui petikan sajak yang dipaparkan sebelum ini, jelas terdapat unsur inversi ataupun salah susunan kata atau frasa iaitu pada perkataan ‘aku’ yang terbiar berasingan misalnya pada ayat ‘tapi aku lahir di sini mati di sini, aku’. Dengan melakukan intrepetrasi, kata ‘aku’ itu merupakan kesinambungan kepada ayat ‘bertentangan dalam pilu’ iaitu seperti ‘aku bertentangan dalam pilu. Namun disebabkan untuk memperindahkan bunyi-bunyi bahasa atau kelainan dari susunan pada sajak tersebut, kata ‘aku’ itu dibiarkan terpisah dari ayat ‘bertentangan dalam pilu’ dan disatu selepas ayat ‘tapi aku lahir mati di sini. Dengan pernyataan yang sedemikian, jelas terdapat unsur deviasi dengan memperlihatkan kelainan-kelainan penulisan ayat yang gramatis sepertimana penulisan konvesional ataupun penulisan akademik.
Selain daripada itu, terdapat lagi petikan ayat yang berkaitan dengan salah susun frasa(termasuk kata) dalam suatu ayat atau ayat(atau ayat-ayat) yang berinversi iaitu seperti berikut :
Di tangga kau membuka pintu
Terdapat unsur inversi pada petikan puisi tersebut, iaitu unsur predikat didahului daripada unsur subjek. Untuk memudahkan penjelasan hal yang berkaitan dengan ayat inversi atau ayat yang bermutasi ini boleh dibahagi-bahagikan gatra iaitu seperti frasa(kata) ‘di tangga’ sebagai bahagian predikat, ‘kau’ sebagai subjek dan frasa ‘membuka pintu’ adalah predikat.
Jika disusun ayat tersebut kepada susunan biasa berdasarkan subjek mendahului predikat adalah seperti ‘kau membuka pintu di tangga’ yang merupakan bentuk atau ciri-ciri seperti bahasa sehari-hari. Hal ini telah menjejaskan keberkesanan estitikanya kerana ia tidak memiliki unsur kelainan(istimewa) bahasa seperti yang dinyatakan oleh Carter, Ronald, (1990 : 505)[18], “...if literature is special then its language must differ”. Oleh itu, pengarang sengaja menggunakan deviasi bahasa seperti menggunakan ayat yang berinversi untuk tujuan estitika.
KESIMPULAN.
Setelah data-data yang dianalisis dalam esei ini, jelas bahawa secara kesimpulannya terdapat unsur foregrounding pada penulisan kesusasteraan yang berbentuk figurative writing, deviasi bahasa dan permainan bahasa oleh pengarang puisi Lagu Tropika. Tujuan utamanya adalah untuk menonjolkan bahasa yang berestitika dan indah. Hal ini telah membuktikan bahawa terdapat perbezaan antara bahasa sehari-hari dengan bahasa kesusasteraan. Begitu juga hal yang memperlihatkan pengarang secara psikologinya telah menulis karya beliau ke arah ketepatan refresentrasi simantik yang dihasratkan oleh pengarang(pengujar) dengan cara membingkas atau terbingkas satu per satu membentuk unit morfologi dan seterusnya membentuk sintaksis(morfo-sintaksis). Data-data telah diperincikan mengikut contoh-contoh yang tertentu mengikut analisis data dari puisi Lagu Tropika.
Bibliografi
Birch, David, (1989). Language, Literature an Critical Practice. London : Routledge.
Carter, Ronald, ‘Language and Literature’ dalam Collinge, N.E(ed), (1990). An Encyclopedia of London. London : Routledge.
Carrol, John. B., (1964) Language and Thought. New Jersey : Prentice-Hall, Inc.
Hashim Awang, (1987), Taman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Nurazmi Kuntum, (2005). Memahami Sajak dan Novel. Bandar Seri Begawan : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Bahasa Melayu Nusantara, (2003). Bandar Seri Begawan : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ashok R. Kelker ‘Style and Technique’ dalam Kumar, Suresh(ed), (1987). Stylistic and Text Analysis. New Delhi : Bahri Publications.
Nurazmi Kuntum, (2005). Memahami Sajak dan Novel. Bandar Seri Begawan : Dewan Bahasa dan Pustaka.
[1].Sebagai peringatan : kesusasteraan juga melibatkan sastera lisan dan bukan hanya terbentuk pada karya tulisan sahaja.
[2].Kritikan Formalisme(formal) merupakan kritikan yang menjurus pada teks kesusasteraan atau hal yang berhubungkait dengan teks sahaja. Menurut Hashim Awang(1987 : 85) “Apabila kesusasteraan melihat karya sastera sebagai hasil seni.Perbincangan dan penilaian keseluruhannya berkisar kepada unsur-unsur seni yang terdapat pada karya sastera”.
[3].Di Amerika, sarjana Amerika kerap menggunakan istilah tersebut sebagai ‘New Critcism’ untuk formalisme Amerika.
[4].Figuratif writing konsepnya juga boleh dirujuk pada kindahan-keindahan yang terdapat pada bahasa kesusasteraan sama ada dari segi bahasanya(maknanya, bunyi-bunyi bahasanya, sintaksisnya mahupun idea pengarang(intelektual pengarang).
[5].Hal yang melibatkan kesan terhadap penggunaan bahasa sehari dan bahasa kesusasteraan boleh dirujuk pada : Hashim Awang, (1987), Taman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
[6].Karya Kesusasteraan merupakan antara bentuk yang memperlihatkan ciri kelainan kerana bahasa kesusasteraan berlainan komunikasinya dari bahasa sehari-hari. Hal yang berlainan selalunya boleh menarik perhatian kebanyakan manusia.
[7].Manusia mempunyai keinginan untuk memuaskan hati manusia sama secara fizikal dan rohani. Fine art(seni halus) dalam bidang kesusasteraan merupakan salah satu bagi santapan rohani manusia atau merupakan salah satu cara bagi manusia untuk memuaskan hati mereka. Untuk lebih lanjut boleh rujuk pada Ashok R. Kelher, “Syle and Technique” dalam Kumar, Suresh, (1987). Stylistic and Text Analysis. New Delhi : Bahri Publications.
[8].Nama sebenar ialah Yahya M.S adalah Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.
[9].Psikolingius-stilistik merupakan bidang yang berhubungkait antara psikologi dengan stilisitik dan lingiustik. Kajian ini menjurus kepada kajian psikologi pengarang yang menulis karya berdasarkan pemikiran dan perasaannya ke arah karya yang ingin diciptanya berdasarkan gaya bahasa tertentu.
[10].Meminjam istilah yang diguna-pakai Abdullah Jumain bin Abu Samah, beliau mempercayai bahawa manusia dilahirkan dengan Inate Semantic dan bukannya Inate Grammar seperti yang diperkatakan oleh Noam Chomsky antara alasan beliau adalah Grammar(Tatabahasa) tidak bersifat universal sebagai contoh perbandingannya adalah perbandingan antara bahasa Inggeris dengan bahasa Jepun dan bahasa Melayu.
[11].Misalnya secara membanyangkan secara fantasi atau imaginasi tidak dituliskan atau diujarkan, terbentuk dalam bentuk lukisan, ukiran, pertukangan tangan dan sebagainya selain dari bahasa verbal dan bahasa non-verbal.
[12].Karya kesusasteraan selalunya tidak memerlukan pada penyelarasan tatabahasa. Oleh itu, tatabahasa adalah mengikut konteks kesesuaiannya seperti penulisan akademik, penggunaan bahasa sehari-hari dan lain-lain perkara yang memerlukan kesesuaian tatabahasanya.
[13].Semuanya adalah berdasarkan pandangan atau pernyataan-pernyataan yang dikemukakan oleh Abdullah Jumain bin Abu Samah.
[14].Perkara-perkara yang berhubungkait dengan ‘foregrounding’ ini boleh dirujuk dengan lebih lanjut pada : http://www.%20cogprint.org.737/.
[15].Rima(rhythm) dalam bahasa puistis merujuk kepada pengulangan bunyi yang jelas atau begitu nyata.
[16].Metre merujuk kepada penyusunan ciri-ciri prosodi khususnya ciri tekanan suara kepada suku kata-suku kata bahasa puitis.
[17].Stilistik efek(stylistic effect) merupakan sebahagian daripada kesan-kesan dari stilistik yang digunakan oleh pengarang pad karyanya. Antaranya adalah kesan tersebut mempengaruhi emosi khalayak, pemikiran khalayak(inteletual pengarang memberikan input ilmu kepada karyanya) sama ada kritis atau imaginatif. Kesan-kesan stilistik itu juga memberikan keiindahan kepada diri pengarang dan juga khalayak.
[18]. Lihat Pada : Carter, Ronald, ‘Language and Literature’ dalam Collinge, N.E(ed), (1990). An Encyclopedia of London. London : Routledge.
Sastera Presentation